CIDB buat persiapan laksana Inisiatif e-Tender Kebangsaan

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang membuat persiapan bagi melaksanakan Inisiatif e-Tender Kebangsaan (NeTI), iaitu 
platfrom bagi memproses tender kerja secara dalam talian di Kementerian Kerja Raya (KKR). 

Projek NeTI yang berperanan mengautomasi keseluruhan proses perolehan tender, bermula daripada pengiklanan sehingga ke peringkat penilaian tender, yang sudah melepasi lima fasa penambahbaikan, menelan perbelanjaan sebanyak RM25 juta sejak 2003. Ketua Operasi CIDB e.Construct Services Sdn Bhd, Ghazali Rahmat berkata melalui NeTI, ia bukan saja mampu mengurangkan kos penyediaan tender kerajaan, malah turut menjimatkan kos pembelian tender. 



“Jumlah penjimatan untuk proses tender kerja kerajaan melalui sistem ini mampu mencecah sehingga RM200 juta menerusi 5,000 purata tender kerajaan setahun berbanding kaedah tender konvensional,” katanya ketika berucap pada majlis pengoperasian Pusat Khidmat Pelanggan Neti pertama, di Kuala Lumpur, semalam. 



Pusat itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembanguan) KKR Datuk Nasir Mat Dam, Pengerusi CIDB Datuk Hamzah Hassan dan Pengerusi CIDB e.Construct Services Ir Elias Ismail. 

Ghazali berkata, pengoperasian Pusat Khidmat Pelanggan Neti itu adalah penanda aras bahawa CIDB cukup berkemampuan untuk melaksanakan operasi Neti. 
“Kini CIDB dalam perancangan untuk membuka 13 kaunter operasi NeTI di pejabat CIDB di setiap negeri bagi membantu melancarkan proses aplikasi sistem ini,” katanya. 

Pada masa ini sistem itu akan digunakan oleh kontraktor Kelas A atau Gred 7 untuk projek kerajaan bernilai RM10 juta dan ke atas bagi membolehkan kontraktor kelas lain membuat persediaan untuk menggunakan aplikasi berkenaan. 

Mengikut perancangan, NeTI bakal dimanfaatkan oleh kontraktor kelas B dan ke bawah dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Pada peringkat awal, Jabatan Kerja Raya dan CIDB diberi mandat untuk melaksanakan empat projek perintis bagi menguji keupayaan sistem itu sepenuhnya secara dalam talian mulai Mac hingga Jun tahun ini. 

Beliau berkata, usaha turut dilakukan di peringkat pihak berkuasa tempatan supaya turut mengguna pakai sistem NeTI, namun untuk kementerian lain, ia memerlukan kelulusan kementerian kewangan. – BERNAMA

Sumber dari : Bharian.com.my

Comments

Popular posts from this blog

NAK JADI KONTRAKTOR YANG BERJAYA

DAFTAR LESEN KEWANGAN UNTUK BIDANG IT@KOMPUTER